Pejuang Berani Mati.

Monday, August 22, 2011

dengarkan 'ustaz' dato' sri liow tiong lai .

Pemakanan sihat ketika berbuka mampu hindari penyakit kronik

Berita Harian, Ogos 10


RAKAN Islam kita mula menjalankan ibadah puasa pada Ramadan lebih seminggu lalu. Sejak beberapa tahun, saya berkesempatan menyertai mereka pada majlis berbuka puasa dan berasa amat kagum dengan keimanan dan sikap berdisiplin dalam menunaikan ibadah ini.

Saya ingin berkongsi cerita mengenai seorang kawan Muslim saya, yang mengajar saya mengenai erti sebenar Ramadan. Dia sentiasa berbuka puasa di rumah bersama keluarganya dan akan terus pergi ke masjid selepas itu untuk menunaikan Tarawih.

Walaupun dia sering mendapat jemputan untuk berbuka puasa oleh rakan sekerja, dia menolak jemputan itu secara lembut dengan alasan lebih baik baginya untuk berbuka di rumah. Pada suatu hari saya bertanya kepadanya mengapa dia berbuat demikian. Menurutnya, Ramadan bukan soal menjamu selera dengan pelbagai hidangan dan juadah, sebaliknya ia bulan untuk dapatkan ketenangan diri, di samping membersihkan diri dan fikiran.

Kawan saya itu sentiasa sihat dan cergas dan adalah jelas bahawa dia mengamalkan prinsip serba kesederhanaan dalam semua aspek kehidupannya sepanjang tahun, bukan saja ketika Ramadan. Kita semua harus mengambil iktibar daripadanya dan falsafah kesederhanaannya itu.

Kita hidup dalam sebuah negara yang mana makanan adalah sebahagian daripada kemeriahan budaya kita. Bagi rakyat Malaysia, jamuan adalah peluang terbaik untuk keluarga dan rakan berkumpul serta mengeratkan silaturahim. Apatah lagi pada musim sebelum perayaan apabila ada begitu banyak promosi makanan dan sering digunakan sebagai alasan untuk keluar bersama sanak-saudara, kawan dan rakan sekerja.

Secara peribadi, saya seronok berkunjung ke bazar Ramadan untuk menikmati pelbagai juadah, yang kebanyakannya hanya boleh didapati pada musim ini. Memang seronok melihat rakyat beragama Islam dan bukan Islam bergaul bersama-sama di gerai makanan, berkongsi pengalaman dan bertukar-tukar tip mengenai cara untuk memasak pelbagai jenis juadah yang berbeza.


Bagaimanapun, kita harus membuat pilihan bijak apabila berkunjung ke bazar ini. Jika mengikut nafsu, memang semua juadah yang dijual itu mahu dibeli, tetapi cara ini pasti akan meningkatkan pengambilan kalori anda jauh berlebihan daripada keperluan harian kita.
Ketika berkunjung ke bazar Ramadan, fikir dulu mengenai apa yang anda beli. Pastikan pilihan dibuat berpandukan prinsip amalan pemakanan sihat. Kurangkan jenis makanan bergoreng, berminyak dan manis.

Pastikan anda mempunyai pilihan pelbagai jenis makanan daripada semua kumpulan untuk berbuka puasa dan bersahur. Perbanyakkan sayur-sayuran, buah-buahan, legum, kekacang dan bijirin penuh untuk hidangan berbuka puasa dan bersahur.

Apabila berbuka puasa, makan perlahan-lahan bagi meredakan kelaparan dan kehausan. Mulakan dengan makan kurma atau buah-buahan dan segelas air, biarkan ia hadam dan seelok-eloknya tunaikan sembahyang Maghrib sebelum menikmati hidangan utama. Pastikan anda minum banyak air bagi mengelakkan kekurangan air.

Ada kawan saya bergurau mengatakan berat badan mereka bertambah pada bulan puasa. Perkara ini mungkin berlaku sekiranya jumlah makanan yang anda makan ketika berbuka dan bersahur jauh melebihi daripada apa yang biasa anda makan ketika bukan bulan puasa.

Saya bersetuju dengan kawan Muslim saya yang memberitahu bahawa berpuasa boleh menjadikan seseorang itu lebih peka. Selepas beberapa hari berpuasa, paras endorphin (bahan kimia pada otak yang membuatkan seseorang ceria) muncul dalam darah, lantas memperbaiki kesejahteraan mental kita secara keseluruhannya.

Ramadan juga masa untuk merenung mengenai kesengsaraan yang dialami oleh golongan kurang bernasib baik. Sesungguhnya, jika kita semua – sama ada umat Islam dan bukan Islam – sama-sama mengamal dan mematuhi prinsip ini, kita semua akan muncul sebagai masyarakat yang lebih sihat dan lebih bahagia. Kepada semua rakan Muslim saya, selamat menjalankan ibadah puasa pada Ramadan ini.

Dato’ Seri Liow Tiong Lai ialah Menteri Kesihatan Malaysia. Dalam kolum ini, beliau berkongsi perspektif peribadinya mengenai kesihatan dan pembangunan rawatan kesihatan di Malaysia. Ikuti beliau melalui blognya (www.liowtionglai.com/blog), atau Twitter (@liowtionglai)


sumber : disini .

2 comments:

Mama Amirul said...

hmmm.... bleh tahan... harap itu adalah kenyataan yang jujur dan ikhlas...

kucingorengemok said...

'ustaz datuk' pegi bazar ramadhan? ye je? pakai bodyguard tak agaknya eh... hehe

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...